Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 30 July 2008

Malang Tidak Berbau

Sudah empat hari berturut-turut saya mendengar dan melihat sendiri kemalangan yang menimpa pelajar UiTM. Kesemuanya berlaku di sekitar Shah Alam. Bermula dengan kejadian E.A. dilanggar dari belakang oleh basikal semasa menjalankan aktiviti di Bukit Cerakah sehinggalah kejadian petang tadi di mana pelajar UiTM mati dilanggar lori berhampiran Mahkamah Tinggi Shah Alam. Semalam pula sepasang pelajar universiti melanggar bas di dalam kampus. Khabarnya keadaan keduanya kritikal.

Setiap hari saya secara individunya akan berdepan dengan penunggang-penunggang 'berani mati' yang menunjuk lagak ngeri di dalam kampus. Antaranya memasuki simpang yang diingini sesuka hati tanpa lampu isyarat (signal), memotong di kiri dan kanan jalan, tidak berhenti di simpang jalan, menggunakan telefon bimbit samada ketika menunggang motosikal atau memandu kereta, menunggang motosikal tanpa topi keledar yang sesuai (helmet setengah) dan tali topi keledar yang tidak diikat kemas.

Terdapat penunggang motosikal lelaki pula gemar atau 'terpaksa' membawa pasangan mereka yang berlainan jantina di belakang sebagai pembonceng samada ke kuliah atau ketika mengisi masa senggang. Sedarkah mereka tentang tanggungjawab yang besar ke atas anak dara orang bukan anak beruang yang dibawa di belakang mereka. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap anak dara tersebut, sanggupkah mereka bertangungjawab. Ini belum dikira lagi hukum Allah. Sudah tentu hukumnya haram. Belum ada ikatan lagi bro, sabar la.

Sebelum malang menimpa jauhilah maksiat wahai saudara dan saudariku sekalian. Jangan sampai anda dikejar dengan parang oleh 'bakal bapa mertua' di dalam kampus baru lari tak cukup tanah.

Kehadiran anda ke universiti adalah untuk menuntut ilmu. Pasangan sebagai sumber inspirasi boleh dicari, tetapi janganlah sampai melanggar hukum Illahi. Anda harapan keluarga dan negara.

Nota HiCMat: Sahabatku sekalian mohonlah dari-Nya agar kita semua diselamatkan ketika menaiki kenderaan. Amalkanlah ayatul Kursi dan doa menaiki kenderaan. Wallahuaklam bissawab

Laporan Kemalangan

Laporan di bawah disediakan dengan bantuan dan maklumat daripada saudara Mazlin Othman (pelapor awal), Yasir Foo (penyedia laporan) dan Mohd Rafsan (pemberi maklumat utama). Laporan berikut telah disediakan untuk perhatian pihak pengurusan universiti.

LAPORAN KEMALANGAN PESERTA TRAINING OF TRAINERS (TOT) PERSATUAN PEMBIMBING REKREASI LUAR (PERLU) UiTM

Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM telah mengadakan program perkhemahan untuk pemilihan instruktur baru (TOT) untuk persatuan yang berlangsung dari 25 hingga 27hb Julai 2008. Pada hari terakhir program, para peserta yang terdiri daripada sembilan orang dikehendaki melakukan aktiviti Explorace. Aktiviti dimulakan pada pukul 10.00 pagi selepas penerangan berkenaan aktiviti dan prosedur keselamatan disampaikan oleh para instruktur. Ketika aktiviti sedang dijalankan, terdapat satu kumpulan dari U** T***** turut melakukan aktiviti Treasure Hunt di bawah kelolaan sebuah konsultan T*** O** S*******. Treasure Hunt tersebut melibatkan lebih kurang 200 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan U** T*****. Secara kebetulan pula laluan dan masa aktiviti yang dijalankan adalah sama.

Lebih kurang pada pukul 10.30 pagi para instruktur yang bertugas menjaga keselamatan peserta Explorace telah dimaklumkan mengenai satu kemalangan yang melibatkan seorang peserta TOT. Beberapa orang instruktur yang berada berhampiran tempat kejadian seterusnya bergegas menuju ke tempat kejadian dan mendapati laporan tersebut adalah benar.

Kemalangan tersebut melibatkan saudari E.A. iaitu salah seorang daripada peserta TOT. Kemalangan tersebut berlaku setelah seorang peserta daripada U** T****** yang pada ketika itu menunggang basikal menuruni bukit dan telah hilang kawalan. E.A. yang pada ketika itu sedang berlari menuruni bukit telah dilanggar dengan basikal tersebut dari belakang. Ini kerana basikal yang peserta Treasure Hunt gunakan tidak berada di dalam keadaan yang baik di mana brek keselamatan basikal tersebut tidak berfungsi dengan baik. Kenyataan ini disahkan sendiri oleh peserta U** T***** yang terlibat dalam kemalangan tersebut kepada salah seorang instruktur PERLU iaitu saudara Mohd Elham Mohd Sayuti..

Bantuan awalan pertama telah diberikan oleh kakitangan St. John Ambulans yang bertugas berhampiran tempat kejadian. Dua (2) orang instruktur PERLU iaitu saudara Mohd Rafsan dan saudara Mazlin Othman datang untuk memberi rawatan kedua dan mereka seterusnya membawa saudari E.A. ke Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dari doktor dan terus mendaftar masuk pada lebih kurang pukul 10.45 pagi.

Pihak konsultan T*** O** S******* telah bersetuju untuk menanggung segala kos rawatan yang dijalankan ke atas saudari E.A. Wakil bagi pihak U** T***** turut hadir di DEMC bagi melihat keadaan saudari E.A. Kemudian pihak kami dimaklumkan bahawa E.A. perlu dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang kerana DEMC tidak mempunyai kemudahan Pengimbas MRI.

Pada pukul 1.30 petang, saudari E.A didaftarkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang. Namun setelah diperiksa oleh pegawai perubatan bertugas, saudari E.A. hanya diberikan rawatan pemerhatian. Instruktur yang membawa saudari E. A. ke hospital kemudiannya memaklumkan kejadian yang berlaku kepada ibu bapa saudari E.A.

Saudari E.A. seterusnya dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada jam 8.45 malam. Ibubapa saudari E.A. kemudiannya memutuskan supaya E.A. dipindahkan ke Pusat Perubatan Ampang Puteri, Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjutan pakar. E.A. didaftar masuk ke Pusat Perubatan Ampang Puteri pada pukul 12.30 tengah malam.

Setiba di Pusat Perubatan Ampang Puteri, E.A. telah diberikan rawatan Pengimbas MRI dan ditempatkan di wad *** sehingga sekarang. Ketika di sana, E.A. dilaporkan mengalami muntah-muntah dan pening-pening. Pihak T*** O** S*******, dipanggil ke Hospital Ampang Puteri untuk membuat perbincangan dan persetujuan bertanggungjawab terhadap kejadian kemalangan yang berlaku.

Sekian laporan saya.




Hisyam Che Mat
Pensyarah/Penasihat
Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM

Tuesday 29 July 2008

Amali 1: Suka dan Duka

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Amali I iaitu asas pekhemahan telah melabuhkan tirainya. Latihan untuk bakal fasilitator juga telah berakhir di lokasi yang sama. Saya mendapat banyak maklumbalas berkaitan kem tersebut.

Saya telah melawat banyak webblog yang menceritakan pengalaman mereka semasa di Bukit Cherakah dari 25 hingga 27 Julai 2008. Antara yang menarik perhatian saya adalah weblog PPT. Ikuti pengalaman dan pemerhatian jujur beliau di sini walaupun beliau hanya dapat meluangkan masa bermula Sabtu malam Ahad (26 Julai 2008).

Sama-samalah kita doakan Ain selamat. Ya Allah, panjangkanlah umur Ellail Ain, Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya, terangi hatinya dengan nur pancaran iman dan Limpahkanlah Ellail Ain kesabaran dan kekuatan iman untuk menghadapi ujian dariMU Ya Allah. Amin.

Monday 28 July 2008

Apa Salahnya...

Membaca blog Che' Puan Aishah dan Che' Rafsan membolehkan sesiapa sahaja pun yang normal akan menyirap darahnya. Kedua-duanya berkisar tentang pelajar FSR yang kurang sopan.

Bagaimana mengawal diri supaya tidak kurang ajar? Caranya mudah sahaja. Buang keegoaan dalam diri. Hormati mereka yang lebih dewasa dan berilmu. Yang lebih penting juga hormati sesama insan. Apabila dah terkeluar daripada seorang yang terpelajar perkataan 3B seperti b*d*h, b*b* dan b**g**g kepada individu lain (terutama yang lebih dewasa), maka jatuhlah martabatnya sebagai pelajar.

Kawal la sikit kemarahan tu. Sabar, bro. Jangan ingat kita sahaja yang kuat dan 'terror' di mukabumi yang fana ini. Tak ke mana kita. Kalau Allah swt ingini, sekejap sahaja boleh ditariknya akan nikmat yang telah diberikan. Tidak salah untuk kita menjadi resmi padi, Makin tunduk, makin berisi.

Diharapkan perkara sebegini tidak berulang lagi. Jagalah maruah sebagai orang yang terpelajar. Kurangkanlah nafsu amarah. Aman Dunia.

Nama dan Pengorbanan

Sedarkah kita tentang besarnya pengorbanan yang isteri atau ibu kita curahkan untuk menjaga kandungannya selama 9 bulan 9 hari.

Pengorbanan

Secara peribadi sudah tentulah saya faham benar dengan pengorbanan besar yang dilakukan oleh Liza. Sanggup di'potong' 'perut'nya untuk mengeluarkan zuriat kami. Kamilia dan Kamil kedua-duanya keluar melalui 'tingkap'. Saya hanya dapat menyaksikan sahaja kepayahan dan pengorbanan seorang isteri mem'bawa' perutnya selama 9 bulan 9 hari (atau mungkin lebih). Derita sakit pinggang kerana beban yang bertambah dari hari ke hari. Kadangkala pula kekejangan otot ketika tidur malam. Deritanya di bilik pembedahan tidak dikira lagi. Apa yang mampu saya lakukan adalah membantu menjaga kedua-duanya setelah mereka selamat dilahirkan. Oleh kerana saya tiada lagi ibubapa dan ibu Liza kurang sihat maka tiadalah istilah balik kampung untuk berpantang. Semuanya kami lakukan sendiri.


Apa Ada Pada Nama

Kebiasaannya, apabila sang isteri mengandung maka pasangan suami dan isteri akan sibuklah berkira-kira mencari nama itu dan ini untuk anak tersayang yang bakal lahir ke mukabumi ini. Macam-macam buku akan dirujuk untuk mendapat atau 'mencipta' nama yang sedap didengar.

Menunggu kehadiran cahaya mata yang ketiga merupakan saat-saat yang membahagiakan bagi kami suami-isteri. Di pihak saya, Liza saya berikan sepenuhnya kebebasan untuk memilih nama untuk anak yang bakal lahir. Liza dah banyak berkorban. Saya cuba bertolak ansur, asalkan namanya sedap didengar dan memberi makna yang baik dalam Islam. Ini kerana nama seseorang itu boleh mempengaruhi perwatakan seseorang itu. Sebagai seorang Muslim, sudah tentulah nama yang diberi perlu mempunyai makna dalam Islam yang baik-baik, indah dan mulia. Memberi nama yang elok kepada anak yang baru lahir adalah satu ibadah dalam Islam.

Teringat cerita arwah nenek saya pada suatu petang ketika kami sedang berehat bersama-sama. Katanya ada seorang kawannya mempunyai nama yang pelik. Satlu binti Dok Aih. Cerita kawan nenek saya asalnya nama tersebut adalah apabila bapa kawan nenek ke balai polis untuk mendaftar kelahiran. Sesampai di balai, bapa kawan nenek memberitahu polis bahawa dia ingin mendaftarkan kelahiran anak perempuannya. Maka polis itupun bertanyalah, "Siapa nama anaknya?". Bapa kawan nenek saya menjawab dalam loghat utara, Satlu (maksudnya nanti dulu - kerana beliau ingin berfikir). Polis itu bertanya lagi,"Satlu binti apa?". Spontan bapa kawan nenek menjawab,"Dok aih...dok aih (maksudnya bukan bukan)". Polis itu terus menulis. Oleh kerana bapa kawan nenek tidak pandai membaca maka beliau tidak menyemak semula nama tersebut. Lekatlah nama Satlu binti Dok Aih.

Friday 25 July 2008

Baik Punya

Liza berkursus selama tiga hari. Selama tiga hari jugalah dia tidak pulang ke rumah. Jadi, sayalah yang bertugas dari A sampai Z untuk menyiapkan segala yang termampu untuk melayani kerenah kedua beradik itu.

Hari ini apabila Liza dah tamat kursus, saya pula yang akan keluar untuk amali perkhemahan di Bukit Cherakah selama tiga hari. Hanya komunikasi melalui telefon sahaja yang mampu kami lakukan untuk menghubungkan ahli keluarga yang terpisah buat sementara akibat kekangan tugas. Mungkin dengan izin Allah kami akan dapat bersama-sama berkumpul di Bukit Cherakah pada hari minggu ini.

Jadi sekiranya anda juga berkesempatan, jemputlah ke Bukit Cherakah. Nikmatilah keindahan dan kehijauan satu-satunya hutan yang masih wujud di pinggir bandaraya Shah Alam. Kalau ada rezeki mungkin pulut durian menanti.

Jasa Ibu Ayah

Beberapa minggu lepas semasa dalam perjalanan ke tempat kerja telah berkumandang lagu yang sudah lama tidak saya dengari. Ia keluar dari corong sebuah stesen radio swasta. Saya lihat Kamilia begitu teruja dengan lagu yang sedang dimainkan itu. Kamilia cuba mengikut bait-bait lirik yang cuba disampaikan oleh penyanyi lagu tersebut, Aris Ariwatan. Saya bertanya: "Kakak pernah dengar ke lagu ni?". Kamilia diam seperti cuba menghayati lagu tersebut. Tiada jawapan. Selepas habis lagu berkumandang, Kamilia bertanya: " Papa...papa tau tak menyanyi lagu tadi". Saya menjawab: "Alamak papa lupa la kakak. Papa janji nanti papa cari lirik lagu tu ya. Kakak suka ka lagu tu?". "Suka!", jawab Kamilia ringkas

Memang betul, sekiranya dihayati sepenuhnya kita akan dapati bahwa lagu ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri di dalam menceritakan pengorbanan ayah dan ibu kita. Semoga kita menjadi anak yang soleh dan solehah dan seterusnya dikurniakan anak yang soleh dan solehah. Amin.



Satu... kasih yg abadi
Tiada tandingi dia yang satu
Dua... sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya ibu

Tiga... lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah
Empat... mudah kau ketemu
Berhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih

( korus )
Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambut ku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa

Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus kau renungkan

( ulang korus )

Wednesday 23 July 2008

Serba Salah

Semester ini saya dah rasakan penangannya. Pelajar datang berjumpa keranan inginkan pelepasan kuliah. Jadi ketua programlah individu yang dijumpa untuk menyokong keinginan mereka. Kononnya hendak mewakili organisasi tertentu. Jadi sebelum mereka di'haram'kan daripada menduduki peperiksaan akhir kerana kehadiran ke kuliah yang tidak memberangsangkan, maka mereka memohon pelepasan. Play safe kata orang. Bijak...bijak.

Kepada pelajar-pelajar diploma khasnya, ingin saya ingatkan di sini. Kehadiran anda ke UiTM adalah untuk menuntut ilmu. Maka gunakanlah peluang berada di IPT ini untuk berjuang untuk mendapatkan segulung diploma. Kokurikulum juga tidak saya nafikan sebagai penting. Pandai-pandailah membahagikan masa di antara kuliah dan aktiviti kokurikulum anda. Kalau berjaya biarlah berjaya kedua-duanya.

Kalau dah gagal dalam pengajian tiada siapa yang boleh membantu lagi. Tinggallah anda seorang diri meratapi kegagalan ketika diberi peluang dahulu.

Tuesday 22 July 2008

Maaf dan Beri Peluang

Bukan senang kita hendak memaafkan seseorang kan?

Kejadian semalam memang menduga kesabaran saya. Seorang pelajar 'lari' keluar daripada kuliah saya. Tidak dimaklumkan ke mana dia nak pergi. Tuptup hilang begitu saja. Macamanalah nak berkat ilmu tu.

Sebelum kuliah tamat saya tanyakan kepada ahli kelas yang lain, ke mana menghilangnya rakan mereka tadi. Tiada jawapan yang pasti. Menyirap darah muda saya. Tidak reti hormat majlis langsung. Kuliah belum tamat dah cabut. Saya meninggalkan pesan kepada ahli kelas yang lain meminta pelajar terbabit berjumpa saya keesokan harinya (hari ini).

Panas saya menjadi reda apabila terbaca artikel berkaitan maaf dan beri peluang. Itu pun secara tidak sengaja ketika membelek majalah yang Liza beli sebelum melelapkan mata malam semalam. Maka sejuklah saya.

Terus datang ilham. Apa salahnya saya memaafkan pelajar terbabit dan beri peluang kedua kepadanya kan.

Dah Berubah

Pengalaman semakin memantangkan saya. Saya tidak terkejut apabila ada yang mengatakan saya dah banyak berubah. Ya ka?


Semasa di dalam bas ketika di dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari Dungun, Puan Rezian-na mengeluarkan pendangannya. Ini berdasarkan pemerhatiannya di sepanjang perkenalan kami semenjak saya mula bertugas di UiTM pada tahun 2000. Katanya panas baran saya dah kurang. Tidak macam dulu lagi.

Mungkinkah saya dah berubah?

Monday 21 July 2008

Serampang Dua Mata

Alhamdulillah semua staf FSR dah selamat berbengkel selama tiga hari di Hotel UiTM Dungun.

Selain daripada sibuk dengan penyediaan kertas soalan, rupa-rupanya ada sesuatu yang tersirat berlaku secara tidak dijangka. UiTM Dungun telah menjadi saksi bagaimana silaturrahim yang sedia wujud di kalangan staf akademik menjadi lebih utuh. Kehadiran hampir semua staf akademik menjadikan perhimpunan ini penuh makna. Masa yang terluang digunakan sepenuhnya untuk bermesra dan berkongsi pendapat. Perkara ini jarang berlaku di fakulti kerana semuanya sibuk dengan tugas masing-masing.

Dr Kwame (pensyarah yang berasal dari Ghana) menjadi begitu teruja dengan bengkel kali ini dan beliau cuba menggunakan bahasa Melayu di dalam perbualan beliau. Sudah tentu ayat yang dikeluarkan dari mulut beliau melucukan kami semua. Kami pula yang terbalik. Menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan.

Ramai di kalangan kakitangan akademik bersetuju sekiranya saya katakan semangat sepasukan di kalangan rakan-rakan juga meningkat dengan mendadak. Hasil dari bengkel ini. Semuanya sedia membantu. Ada sesetengah tidak perlu dipanggil untuk membantu. Saya adalah antara orang yang terlalu mengharapkan bantuan. Saya selaku Ketua Program Diploma perlu mengumpul dan membuat semakan terakhir untuk kesemua kertas soalan yang disediakan oleh para staf akademik dari tiga kampus. Mengikut pekeliling Lembaga Peperiksaan UiTM yang terkini, setiap subjek perlu menyediakan lima set soalan. Fokusnya pula kepada diploma yang mempunyai lebih daripada seorang pensyarah (sebab ada tiga kampus). Wow, banyaknya. Sebelum ini satu subjek cuma dua set sahaja. Maka bahagian sayalah yang paling banyak. Kalau tiada pertolongan daripada kawan semua sudah tentu kerja selama tiga hari tersebut tidak akan selesai.

Terima kasih juga kepada kakitangan pentadbiran yang hadir membantu. Antaranya Marzura (Penolong Pendaftar Akademik), Sharifah (EO Akademik), Kak Faezah, Kak Puziah, Narang dan Amy yang banyak membantu melicinkan perjalanan bengkel kali ini. Jasa mereka dalam menyiapkan hasilan terakhir kertas-kertas soalan sangat-sangat saya hargai. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian semua.

Pengalaman mengisi 'tangki' juga tidak saya lupakan. Dalam tiga hari tersebut macam-macam yang masuk ke mulut saya. Satar, otak-otak, pais, keropok lekor, keropok, durian, budu, laksa, ketupat, nasi minyak, nasi dagang dan macam-macam lagi. Kesudahannya di hari kedua saya terpaksa dikejarkan ke klinik oleh saudara Amrie. Mungkin sebab terlebih makan kot.





Friday 18 July 2008

Demang Soalang

Sekarang ini saya bersama-sama kesemua staf akademik FSR satu Malaysia sedang berkampung di Hotel UiTM Dungun. Misi kesemuanya adalah untuk menyiapkan soalan untuk peperiksaan akhir Oktober 2008. Kesemua kami setia berada di sini dari semalam hinggalah ke esok hari, insyaallah.

Deruan ombak yang menghempas pantai berhampiran tempat kami menginap sedikit sebanyak berjaya mengurangkan tekanan menyiapkan 2 hingga 5 set soalan. Angin Laut China Selatan yang bertiup menambahkan lagi kesyahduan sepanjang berada di sini.

Pagi tadi saya mendapat SMS daripada Liza. Tercatat di telefon bimbit saya yang berbunyi, "Abang, pagi tadi kakak nasihatkan adik jangan nakal-nakal... nanti mama pukul. Katanya papa yang bagitau, betul ka?"

Terus saya teringatkan Kamilia. Alhamdulillah dia dah pandai ingat mengingati sesama adik beradik.

Wednesday 16 July 2008

Salah Percaturan ke?

Kalau diikutkan percaturan awal saya, pada semester ini akan muncul hampir 30 blogawan baru. Kesemua mereka adalah siswa/i yang mendaftar untuk subjek Rekreasi Luar. Namun sehingga kini masih ramai daripada mereka ini yang belum mengemaskini blog masing-masing. Kesemua blog mereka masih sama seperti hari pertama dibuat kelas khas.

Nawaitu saya mudah sahaja. Saya ingin membudayakan penulisan dan minda kreatif dan kritis di kalangan pelajar saya. Terutama sekali pelajar Rekreasi Luar. Banyak pengalaman yang akan mereka timba pada semester ini. Mereka ini 'orang sukan'. Pengalaman mereka hanya dengan sukan dan kehidupan masing-masing sahaja.

Dengan peluang terlibat dalam rekreasi luar yang merupakan pengalaman baru dalam kehidupan mereka ini, maka memang sepatutnyalah mereka mengisi blog mereka dengan pengalaman yang mungkin tidak pernah mereka tempuhi selama ini.

Sama-samalah kita tunggu ya. Kalau tak boleh secara sukarela maka konsep paksarela perlu digunakan. Apa salahnya untuk kebaikan kan.

Amali Perkhemahan

Amali perkhemahan siswa/i FSR UiTM kembali lagi. Saya dengan sukacitanya menjemput rakan-rakan alumni dan penjengok-penjengok sekalian yang berminat untuk turut serta. Maklumat berkenaan amali tersebut adalah seperti berikut:

Amali Asas Perkhemahan
Lokasi : Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam
Tarikh : 25 hingga 27 Julai 2008
Peserta : Siswa/i Diploma Pengajian Sukan Semester 2 UiTM Shah Alam.
Aktiviti: Keraf perkhemahan, merentas hutan, orienteering, first aid dan initiative games

Amali Perkhemahan Akhir
Lokasi : Tasik Kenyir
Tarikh : 16 hingga 21 Ogos 2008
Peserta: Siswa/i Diploma Pengajian Sukan UiTM Shah Alam, Kolej Shahputra & INSTEDT
Aktiviti: Pengurusan perkhemahan, abseiling, berkayak, halangan bertali, ikhtiar hidup dan mountain biking.

Tuesday 15 July 2008

Lenyap dari Pandangan

Semalam saya dikejutkan dengan kehilangan sebuah blog yang menjadi inspirasi saya sejak dua tahun lalu. Blog Prof Muhd Kamil Ibrahim, Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan.

Pemilik blog tersebut pernah menjadi Dekan FSR dari tahun 2003-2005. Beliau banyak menulis berkaitan kehidupan beliau di dalam blog tersebut. Perjalanan dan perubahan dalam kehidupan beliau dari zaman 'jahil' hinggalah perubahan besar setelah pulang dari mengerjakan haji turut termuat dalam blog tersebut.

Kepada penjengok-penjengok yang pernah melayari blog beliau mungkin bersetuju dengan pendapat saya. Jadi sama-samalah kita doakan Prof Muhd Kamil terus tabah dan seterusnya menulis dalam blog baru beliau.

Nota HiCMat: Saya pun risau kalau-kalau blog (Coretan di Kala Senggang) dan kenangan saya semasa di Bendigo (Khabar dari Bendigo) di 'ghaib'kan dari pandangan. "Ya Allah, Jauhkanlah dugaan sebegitu berlaku kepada hambaMu yang kerdil ini". Amin.

Tegur Menegur

Blog saya memang terbuka kepada sesiapa sahaja. Maka tiada istilah hanya kawan sahaja yang boleh melayarinya dan memberi komen. Tujuan saya membuka blog inipun sudah saya nyatakan sebelumnya.

Jadi kepada yang hendak memberi komen, pendapat atau cadangan...teruskan aja. Jangan bertangguh-tangguh atau rasa malu. Tiada sekatan bro.

Kepada penjengok-penjengok yang lain pula, bersikaplah positif terhadap sebarang komen, pendapat dan cadangan yang diberikan oleh rakan-rakan kita yang lain. Janganlah diserang individu tertentu hingga terbantut perkongsiaan idea beliau yang seterusnya. Anggaplah blog ini sebagai penyemai kasih dan pemupuk ukhwah di kalangan kita penggiat rekreasi tanahair khasnya dan rakyat Malaysia umumnya. Jangan gaduh-gaduh. 'Dunia' kita ini kecil saja. Kalau semua dok bergaduh siapa nak jaga.

Jadi teruskanlah berblog, biar sesibuk mana pun kita.

Dengan aktif berblog ini maka rakan-rakan kita yang jauh kita dekat-dekatkan. Yang dekat kita mesra-mesrakan dan yang mesra kita serasi-serasikan.

Sunday 13 July 2008

Kuliah e-PJJ

Hari ini seminar pertama e-PJJ subjek Outdoor Recreation. Hanya 3 orang daripada 4 orang yang hadir.

Cabaran baru dah muncul. Maka saya perlu menerimanya dan memastikan pelajar-pelajar ini sama-sama bersedia menghadapinya. Bukan mudah untuk belajar dan mengajar subjek yang melibatkan praktikal hanya melalui maya.

Saya akan cuba memberi yang terbaik melalui perancangan pengajaran yang telah saya atur.

Friday 11 July 2008

E-mail Pilihan

Berdasarkan kepada posting 'Zalimkah Saya?'.
Nama perseorangan dan tempat saya letakkan * untuk menjaga maruah individu dan agensi terbabit. Selamat membaca.

Salam,

Rileks la bro. Aku pun x tau nak nasihat apa tentang students yang x puas hati
dgn markah yang kita bagi ni coz aku pun tak pernah alami - x pernah lak students jumpa aku and argue ttg markah depa. Mungkin kita berada dalam dunia rekreasi yang berbeza - students hg sememangnya outdoor person dan sememangnya perlu dididik berdasarkan a bit harsh and high level approach! whereas for me, aku perlu rendahkan sikit aku punya approach kepada welcoming stage di mana
aku kena tumpukan segala usaha aku untuk meramaikan lagi orang bergiat dalam outdoor ni - environment universiti berbeza so, kena adapt la dengan keperluan surrounding environment.....

Aku x pernah paksa students aku buat macam-macam but lebih kepada menyemai minat cintakan outdoor dulu and reward them for their performance (even a pat on their backs mean something to them!!!). for me, bila minat dah ada, payah macammana pun depa akan buat punya. Pendekatan mendera atau marah secara frequent sekali pun pun aku tak pernah guna. Aku pernah la marah students but bila depa buat salah yang kronik je. Maaf, approach macam EDU and HUKUM CAKERAWALA *** ***** tak pernah aku gunapakai (walaupun aku sendiri pun ok dengan approach tu) but aku lebih kepada approach kursus rekreasi yang sedang diamalkan di Fakulti Perhutanan - FHR sekarang.

Students la ni makin bijak and kadang2 tu 'naik lemak' but if we know how to tackle them appropriately then they'll definately appreciate with what we have done to them.

Sekadar berkongsi pendapat je ni bro. x lebih dari itu. Matlamat kita sama, mungkin cara je berbeza. cam aku kata tadi la, U*M ni bukan tersohor sebagai training ground for recreation leaders, unlike UITM but ilmu rekreasi ni takde sapa-sapa pun yang jadi pemilik mutlaknya and sapa-apa pun x wajar claim yang dia tu power or mahaguru dalam ilmu ni. Semua orang layak dapat ilmu ni cuma yang bezakan hanya MINAT dan KETEKUNAN. Bagus gak aku duduk di U*M dan ***** ni coz baru aku boleh menilai tahap keupayaan aku dalam bidang ni sebagai outdoor educator and mampukah aku meneruskan perjuangan tok guru kita sebelum ini yang menginginkan lebih ramai masyarakat malaysia bergiat dalam aktiviti outdoor ni, bukan hanya menyampaikan ilmu dan pengalaman kepada mereka-mereka yang sememangnya dah ada minat dalam diri mereka. Believe me, when dealing with people with zero interest,knowledge and skill, sometimes you have to put yourself in their shoes and think the most efficient method to attract their interest, gain their trust and make them aware of the significant of participating in outdoor recreation activities.

Hang in there bro,situation will change... Perhaps your students are still lack of a deeper understanding of what recreation is all about and fail to see and comprehend the true reason why they have to do such things as requested during your outdoor trip. We are both not much different in terms of maintaining the survival of our beloved field, in fact you are more experienced than me. I'm sure you'll do it just fine.

Cheers mate and see you next week ! (going to Raban tomorrow for an outdoor trip with Pusat Kegiatan Air Pulau Pinang - pi Perak lagi, 2 minggu lepas pun baru je layan mountain bike kat kuala kangsar!!!!!).

Your junior

Outdoor Secara Maya

Semester ini berlaku satu lagi sejarah dalam hidup saya. Mengajar subjek Outdoor Recreation secara maya. Pelajarnya tak ramai. Cuma empat orang sahaja. Kesemua mereka mendaftar untuk program Diploma Pengajian Sukan secara e-PJJ. Kebiasaannya program e-PJJ ini dikhaskan untuk mereka yang sedang bekerja dan tidak dapat belajar secara sepenuh masa.

Mereka ini datangnya dari seluruh pelusuk tanahair. Seminarnya pula hanya empat kali sahaja selama 2 jam di setiap pertemuan sepanjang semester berlangsung.

Saya menjangkakan ianya tidak semudah seperti yang dijangkakan oleh sesetengah pihak. Mana taknya, subjek Outdoor Recreation ini melibatkan hands-on experience bukannya pembelajaran di bilik darjah sahaja. Bukan teori semata-mata.

Jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadikan sesuatu yang mustahil menjadi nyata. Moga bakal pelajar saya mendapat manfaatnya daripada kursus ini.

Thursday 10 July 2008

ALLAH MAHA MENGETAHUI

Allah tahu yang terbaik untuk hambaNYA
Oleh itu kenapa kita perlu merungut atau tidak puashati

Kita selalu inginkan mentari muncul
Tetapi Allah menurunkan hujan
Kita seringkali inginkan ketawa ria
Tetapi sedarkah kita ianya akan merosakkan hati kita
Sekiranya kita tidak menitiskan airmata

Seringkali kita diuji dengan kesakitan dan kesedihan oleh Allah s.w.t
Ia bukanlah tujuan Allah s.w.t untuk menghukum kita
Tetapi ianya untuk membantu kita terus berjuang menghadapi hari muka

Ibaratkan diri kita umpama pokok yang terus subur menghijau
dapat terus bertahan biarpun selepas ribut menghentam

Seringkali jika Allah menguji kita
dan dengan setiap kesakitan
Dikurniakan oleh Nya kita kesabaran dan manfaat
Jadi sekiranya kita merasakan ada perkara yang tidak mengikut apa yang kita hajati
Sedarilah itu cara Allah S.w.t. untuk menjadikan iman kita lebih teguh

Wednesday 9 July 2008

Kerja Kosong

Zalimkah Saya?

"Encik tak adillah bagi markah outdoor. Ramai kawan-kawan batch saya yang tak puas hati. Mereka dah buat kerja teruk masa kem, tapi carry mark yang encik pamerkan rendah ja... markah mereka. Ada yang kata buat penat ja panjat pasang lampu dan gantung khemah pusat, tapi markah rendah", komen seorang pelajar dengan berani ketika datang ke bilik saya. Dengan tenang saya menjawab, "Bukan saya seorang yang menilai kem tu. Saya juga dapatkan maklumbalas daripada pensyarah pengiring dan para fasilitator. Bukan penglibatan semasa kem sahaja dinilai, penilaian juga berdasarkan ujian dan logbook".

Bukan saya sengaja hendak membela diri, tetapi saya telah cuba untuk menilai seadil mungkin. Saya sedar saya juga akan diadili di akhirat kelak. Sebab itulah saya juga sering berpesan kepada para fasilitator dan pensyarah pengiring yang membantu penilaian sesuatu amali bahawa penilaian mereka memainkan peranan yang penting. Memberi kesan yang amat besar. Jangan dinilai pelajar sesuka hati atau hentam keromo sahaja. Penilaian ini sangat penting untuk masa depan pelajar-pelajar yang dinilai. Bukan senang untuk menilai sesuatu yang subjektif. Penilaian tentang sikap, kreatitiviti, disiplin, kerjasama kerja berkumpulan dan kepimpinan seseorang pelajar menjadi senang sekiranya kita berusaha menjadi pemerhati yang baik. Kalau fasilitator hanya syok sendiri (SS) sahaja dengan amanah yang diberikan maka berlakulah kelemahan di dalam penilaian.

Saya mengingatkan kepada diri saya sendiri, rakan-rakan dan bakal-bakal fasilitator supaya berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri menjadi penilai yang baik. Kalau tidak, orang yang dinilai akan sentiasa membawa mulut mengatakan dirinya 'dizalimi'. Jadillah seorang yang jujur dan beramanah ketika menilai. Supaya kita tidak menzalimi rakan-rakan kita yang memerlukan keadilan di dalam penilaian.

Kepada yang dinilai pula, berlaku jujurlah di dalam melakukan sesuatu perkara. Jangan melakukan sesuatu hanya untuk markah semata-mata. Pastikan nawaitu anda ikhlas melakukan sesuatu untuk ilmu dan pengalaman. Ganjarannya akan datang kemudian. Sesungguhnya ilmu kalau tidak diamalkan akan hilang begitu sahaja.


Nota HiCMat: Saya seringkali mengamalkan pembacaan Doa Nabi Yunus a.s. ketika baginda berada di dalam perut ikan paus. Baginda berdoa di dalam kegelapan perut ikan paus itu: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau, Maha sucilah Engkau dan sesungguhnya aku telah berdosa dan menjadi salah seorang dari mereka yang zalim."

Tuesday 8 July 2008

Lambat

Nak sampai ke kampus hari ini mengambil masa 50 minit dari rumah saya. Kebiasaannya cuma 8-10 minit sahaja. Mana taknya, air naik memenuhi ruang di dalam kedua-dua terowong untuk ke kawasan perumahan yang saya tinggal. Hujan lebat betul awal pagi tadi. Mencurah-curah seperti tak nak berhenti.

Terpaksalah guna jalan jauh. Melencong ke arah Bukit Raja. Keluar saja ke jalan Bukit Raja, sesak teruk. Nak bergerak sejauh 150 meter pun mengambil masa 40 minit. Kamilia dah resah. Takut lewat ke tadika. "Nanti cikgu marah", dia kata. Memang inilah pengalaman pertama Kamilia lewat ke tadika.

Baru sehari saya merasakan kesesakan jalanraya. Bagaimanalah pula dengan rakan-rakan pengguna jalanraya lain yang terpaksa menghadapinya setiap hari.

Saya bersyukur.

Monday 7 July 2008

Fault Start

Depa buat dah.


Hari pertama kuliah Outdoor Recreation sungguh mengecewakan. Hanya 10 orang sahaja yang hadir daripada 32 orang. Kesemua yang hadir perempuan pulak tu. Macam mengajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nenas ja.

Memang cari nahas depa ni semua. Memang main-main. Dekan dah pesan dengan saya 'ajar' budak-budak outdoor ni betul-betul.

Kita tengok nanti apa kesudahannya.

Hari Pertama

Jalan masuk ke UiTM sesak teruk. Hari pertama kuliah la katakan. Mungkin ramai yang sudah menanam azam baru. Semester ini lebih baik dari sebelumnya.

Di dalam kesibukan menguruskan pelajar Diploma Pengajian Sukan, saya telah diamanahkan untuk mengajar subjek wajib Outdoor Recreation untuk pelajar diploma. Selain daripada itu saya mengajar dua subjek baru iaitu Leisure and Disabilities dan subjek Park Planning Management untuk pelajar ijazah pertama. Biarpun kedua-duanya subjek baru, namun minat yang mendalam dalam kedua-dua subjek ini menambahkan lagi keterujaan saya untuk mendalami kedua-dua bidang ini. Saya juga telah diamanahkan menyelia 3 orang pelajar undergraduate untuk thesis mereka.

Pagi ini saya berpesan kepada pelajar-pelajar yang mendaftar subjek Leisure and Disabilities yang hadir ke kuliah pertama saya supaya menjadikan subjek ini sebagai permulaan untuk mereka menjalankan kajian untuk Orang Kurang Upaya. Ini kerana penglibatan OKU dalam aktiviti luar kurang diberi perhatian untuk dibuat penyelidikan. Semester ini mereka akan banyak membuat artikel reviews/critiques . Ini sebagai mempersiapkan diri mereka ke alam penyelidikan.

Friday 4 July 2008

Orientasi Satu Penderaaan!

Siapa kata ianya satu penderaan?

Saya merasakan orientasi mempunyai banyak baik daripada buruknya. Yang penting cara pembawakannya. Jangan melebihi had yang dibenarkan.

Daripada minggu orientasi di universiti inilah pelajar baru lebih mengenali universiti, fakulti, kolej kediaman, staf, pelajar senior dan sesama rakan. Semangat sayangkan universiti akan tertumpah daripada minggu orientasi ini.

Saya telah melalui minggu orientasi yang pertama di universiti pada tahun 1992. Ianya bermula di peringkat universiti. Kemudiannya disambung pula di peringkat kolej kediaman. Acara penamatnya adalah di peringkat blok iaitu memfokuskan di peringkat floor.

Floor saya telah berjaya melahirkan ramai pemimpin di peringkat universiti, fakulti dan kolej kediaman. Mereka menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.

Saudara Thuairi, Din JB, Mozeck, Sham Boya, Mat Gym, Cha'a, Chikenit, Bang Usop, Tunggal, Azmi dan ramai lagi merupakan senior yang mendera kami di hari orientasi floor. Tapi kami pelajar-pelajar junior tidak pernah berdendam.

Setelah berakhirnya minggu orientasi, hubungan antara kami menjadi begitu rapat. Apabila ada acara sukan yang melibatkan Kolej Kediaman ke-4 seperti sofbol, bolasepak dan takraw berlangsung, penyokong dari floor ERA, blok Murni akan turun beramai-ramai memberikan sokongan. Begitulah sepakat dan akrabnya kami senior dan junior.

Dari minggu orientasi di peringkat floor jugalah terhasilnya nama-nama timangan pada rakan-rakan seangkatan saya seperti: Pekok, Boyot, Ketek, Gaban, Mangkuk, Ron Jeremy, Labi dan ramai lagi. Saya sendiri digelar Ungkal dan nama masih lekat hingga ke hari ini di kalangan rakan-rakan lama dari Kolej Kediaman Keempat, UPM.

Thursday 3 July 2008

Berjaya atau Gagal

Hari ini dua perkara berlangsung serentak di FSR.

Pada sebelah pagi tadi International Sports Science Research Workshop 2008 telah selamat disempurnakan perasmiannya oleh wakil Menteri Belia dan Sukan iaitu Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Aziz. Lebih 100 orang peserta yang menghadiri Bengkel Penyelidikan Sains Sukan yang berlangsung selama 2 hari ini.


Di sebelah petangnya pula staf FSR menghadiri program 'Sepetang Bersama Pelajar Baru'. Inilah peluangnya untuk pelajar-pelajar yang baru mendaftar di FSR beramah mesra dengan kakitangan akademik dan pentadbiran di FSR.

Kita hanya merancang tetapi Allah jua yang menentukan segalanya.


Kehadiran pelajar baru untuk pertemuan ini sungguh mengecewakan. Hanya pelajar wanita sahaja yang menghadirkan diri. Selepas kesemua pensyarah sanggup mengorbankan masa emas mereka untuk berjumpa pelajar baru, adakah ini balasannya. Alasan hujan memang tidak sesuai langsung digunakan.Tapi itulah alasan yang diguna pakai. Budak sukan takut dengan hujan. Apa dah jadi?

Mungkinkah kerana Minggu Orientasi kini telah menjadi begitu 'lembut' berbanding zaman saya di universiti dulu menjadi penyebabnya?

Wednesday 2 July 2008

Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu

Semalam seorang rakan menghantar email berserta gambar beliau di puncak Gunung Kinabalu. Beliau menyatakan kesyukuran kerana berjaya mendaki puncak yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Cuaca yang kurang mengizinkan menyebabkan beliau bercadang untuk mendaki Kinabalu untuk kali ke-2.

Memang betul. Gunung Kinabalu sentiasa mengamit tetamunya dengan cara yang tersendiri. Keindahan dan pemandangan yang indah cukup mensyahdukan.

Saya pernah membentangkan tentang pengalaman pendakian ke Gunung Kinabalu semasa seminar di La Trobe University. Kesemua pensyarah dan audien yang mendengar teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang khazanah alam yang unik dan menarik ini. Mereka sendiri seperti terpanggil untuk berkunjung dan melihat sendiri gunung kebanggaan rakyat Malaysia ini. Struktur geologinya yang unik menambahkan lagi keterujaan mereka.

Sebenarnya Kinabalu begitu dekat di hati saya. Biarpun ianya terletak nun jauh di negeri di bawah bayu, namun bila disebut sahaja Gunung Kinabalu, auranya segera terasa. Saya dapat membayangkan setiap langkah menuju ke puncak. Oleh sebab itulah sekiranya ada pelajar di universiti dan sekolah yang teringin mendengar celoteh saya tentang pengalaman Kinabalu, saya cuba tidak hampakan.


Alhamdulillah kunjungan saya beberapa kali ke Gunung Kinabalu dengan kumpulan yang berbeza disambut dengan cuaca yang cukup baik. Saya dapat melihat kebesaran Allah ini dengan sejelas-jelasnya. Dari jauh lagi Gunung Kinabalu kelihatan seperti mengamit dan bersedia menyambut tetamu dari semenanjung ini.


Mendaki Gunung Kinabalu ini tidaklah terlalu sukar seperti mendaki Gunung Tahan. Ianya bertangga-tangga yang telah tersedia. Selain daripada kekuatan fizikal, minda memainkan peranan yang penting. Oleh sebab itulah saya sering memberikan nasihat kepada para pendaki supaya cuba membayangkan laluan yang akan dilalui. Saya akan menceritakan bermula dari pendaftaran di Kinabalu Park Headquarters, menaiki bas ke Timpohon Gate hinggalah ke puncak satu persatu. Setiap perjalanan yang ditempuh akan saya ceritakan dengan sejelas-jelas mungkin agar bakal-bakal pendaki dapat mengambarkan yang diri mereka sudah berada di trek pendakian ke Gunung Kinabalu.

Tiada apa yang mustahil. Kak Sad (staf di FSR) telah membuktikan. Biarpun beliau yang berumur 52 tahun pada ketika itu dan mempunyai penyakit tiga serangkai yang kronik, Kak Sad berjaya sampai ke puncak. Berbekalkan keazaman dan sedikit latihan beliau berjaya. Di situlah pentingnya motivasi diri.


Terdapat rakan saya yang jogging hampir setiap hari pun merasa sukar untuk sampai ke puncak. Kenapa ya? Sebenarnya berlari sahaja di trek atau di kawasan rata tidak mencukupi. Pendaki perlu merasai sendiri ‘kenikmatan’ mendaki tangga. Tidak kisahlah samada ianya 5 tingkat, 10 tingkat atau 20 tingkat. Yang penting lakukan. Selain menguatkan jantung ianya sangat bersesuaian kerana pendakian di Gunung Kinabalu memang bertangga. Kak Sad juga telah membuktikannya.

Tidak cukup dengan itu, cubalah menjengah ke kolam renang. Kalau pandai berenang lagi baik. Kalau tidak pandai berenang cukuplah sekadar berlari atau berjalan di dalam air. Selain daripada latihan pengawalan pernafasan, ia juga dapat membiasakan badan kita dengan suhu persekitaran yang sejuk.

Pemakanan juga adalah sesuatu yang penting. Saya gemar membawa kismis, kurma dan sebuku roti. Itulah makanan saya sepanjang pendakian ketika lapar. Ini juga telah terbukti ketika saya membawa beberapa kumpulan yang tidak cukup cergas (mereka sibuk di pejabat hingga tidak sempat bersenam). Hanya dengan nasihat supaya mereka ‘menelan’ makanan yang saya bawa tadi, majoriti daripada pendaki tadi telah berjaya sampai. Akibat daripada nasihat dan penceritaan pengalaman saya tadi juga, sekumpulan pelajar tahun akhir FSR yang bersama-sama saya mendaki pada tahun 2006 telah membawa sebuku roti bersaiz besar setiap seorang. Daripada 23 orang pendaki, hanya 2 orang sahaja yang tidak sampai ke puncak. Keduanya-duanya pula secara kebetulannya pula merupakan pelajar dari Sabah. Kedua-duanya juga telah hilang selera makan ketika di Laban Rata. Yang makan atau ‘telan’ roti tadi semuanya sampai ke Low’s Peak.

Altitude Mountain Sickness atau AMS adalah sesuatu yang cukup ditakuti oleh para pendaki. AMS kebiasaannya ‘menyerang’ mangsa ketika berada di anggaran ketinggian 2500 meter dari aras laut. Antara tanda-tanda AMS adalah pening-pening, mengantuk, loya-loya(nausea), keresahan (malaise) dan keletihan melampau. Untuk mengurangkannya senang sahaja. Badan kita memerlukan masa untuk membiasakan dengan keadaan persekitaran tempat tinggi. Oleh itu tidak perlulah kita yang tidak biasa ini terlalu memaksa diri berlari ketika mendaki. Jangan bergocoh-gocoh. Takkan lari gunung dikejar. Ambillah masa dan mengikut langkah dan kedherat diri sendiri.

Yang pastinya bergeraklah di dalam kumpulan untuk menghindari sesuatu yang tidak dijangka daripada berlaku. Sesungguhnya malang tidak berbau. Sekiranya malang itu berbau tentu mudah, kan. Apabila kita ada terbau sesuatu yang busuk pada hari pendakian tentu ada malang yang akan dihadapi oleh kita. Tapi itu mustahil berlaku…kan.

Tidak lupa juga jaga mulut dan tingkah perbuatan. Setiap tempat ada penghuninya. Jadi hati-hati ya apabila berkata. Kerana santan pulut binasa, kerana mulut badan binasa.


Akhirnya berdoa dan bertawakallah kepada illahi setelah kita berusaha. Semoga pendakian anda selamat dan berjaya. Dengan kuasa Allah swt jualah, insyaallah sekiranya diberi peluang anda akan dapat menyaksikan kebesaran illahi yang saujana mata memandang. Subhanallah, Allahuakbar.

Tuesday 1 July 2008

Kabinet Baru

Hari ini diadakan mesyuarat Lembaga Akademik Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (LAF)yang pertama untuk semester baru. LAF kini dianggotai oleh ramai muka-muka baru. Di bawah ini disenaraikan ahli LAF.

Dekan : Mohd Khairi bin Zawi (Prof Madya Dr.)
Timbalan Dekan (Akademik dan Kualiti) : Hashbullah Ismail
Timbalan Dekan (Sumber dan Pelajar): Khairulzaman Hamin
Pengerusi Pusat Pengajian: Mustafa Yen (Prof Madya)
Ketua Program Siswazah: Borhan Yusof
Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan: Hasnul Faizal Hushin Amri
Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan: Raja Mohammed Firhad Raja Azidin
Ketua Program Diploma Pengajian Sukan : Hisyam Che Mat
Pensyarah Kanan: Kwame Ampofo-Boateng (Prof Madya Dr.)& Abd Aziz Zakaria (Tn Hj)
Penolong Pendaftar : Marzura bt Mohd Idris

Selamat menjalankan tugas kepada kesemuanya.

Biar jasa jadi kenangan.