Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 24 August 2010

Mampukah Kita Bila Diduga?

Saya suka menggunakan contoh ini untuk menggambarkan besar dan kecilnya dugaan seseorang. Kata saya kepada mereka yang mendengar, "Kita sering merungut apabila tak mampu membeli kasut baru seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada di antara rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kasut bahkan tidak juga mempunyai kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin dimilikinya".

Maka bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah subhanahuwata'ala berikan kepada kita. Itu tandanya Allah swt masih sayangkan hamba-Nya. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ada orang lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. Allah hanya menguji setakat yang hambaNYA mampu sahaja.

Saya ceritakan kepada seorang sahabat, bagaimana Allah swt 'tarik' kedua ibubapa saya ketika saya masih memerlukan kasih sayang keduanya. Saya jangkakan itulah dugaan terhebat di dalam kehidupan saya. Namun saya lupa tentang dugaan orang lain. Terus kawan saya ceritakan kisah hidupnya sehingga membuatkan saya lebih bersyukur. Katanya dia masih mempunyai kedua ibu dan bapa namun dia tidak pernah merasa nikmatnya dapat mencium tangan keduanya. Ini kan pula memeluk keduanya sebelum ke sekolah dahulu sehinggalah ke zaman universitinya. Pernah beberapa kal ibunya menghamburkan perkataan yang tidak ingin mana-mana anak sekalipun mendengarnya. Ibunya tidak mengaku bahawa dia ini sebagai darah dagingnya. Aduh... anak mana yang tak sedih apabila mendengar perkataan yang tak mahu didengarnya itu. Saya hanya mampu menyuruh dia bersabar dan memohon doa dari Illahi agar dilembutkan hati kedua ibubapanya.

Saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman mencium tangan mak dan abah. Pernah memeluk dan mencium mereka sebelum ke sekolah. Paling penting arwah mak dan abah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang sahabat saya dapat dengari dari mulut ibunya sendiri. Saya bersyukur.

Nota: Selamat Hari Wanita kepada semua ibu-ibu yang membaca coretan saya pada kali ini. Semoga dosa-dosa anda diampunkan Allah swt dan ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin.

Sunday 22 August 2010

Satu Bahtera Dua Nakhoda

Mana mungkin ini terjadi. Sudah tentulah kalau satu kapal dua nakhodanya maka alamat tak bergeraklah kapal tersebut. Seorang nak ke barat dan seorang nak ke timur. Seorang nak ke Lautan Atlantik, seorang nak ke Lautan Pasifik dan akhirnya tersadailah kapal di Guatemala. Apalagi kelas-kelasinya pun berkata Guatemala ke "Gua Mati La" lagi senang. Iyalah dah susah sangat asyik nak berperang sahaja atas kapal. Lebih baik terjun atau kelasi berhenti beramai-ramai lagi baik. Sebab bila 2 nakhoda bertelagah maka orang bawah pun tunggang langgang. Tak punya hala tuju. Sudah pastilah kapal itu tidak akan tiba ke destinasi dengan selamat ataupun bakal menerima nasib seperti kapal Titanic. Tenggelam di lautan!

Maka pengajarannya di sini, sesebuah organisasi atau jabatan itu perlu ada hanya seorang ketua. Ketua ini akan menurunkan kuasanya kepada beberapa orang penolongnya bagi melancarkan urusan seharian organisasi/jabatan masing-masing. Penolongnya akan menjalankan tugas yang telah diamanahkan berpandukan halatuju jabatan/orgabisasi tanpa ada nawaitu untuk mencantas ketuanya sendiri. Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Namun kebiasaannya langit tidak selalu cerah. Ketua kebiasaannya akan diuji. Akibat dicucuk atau 'gila kuasa' maka penolong-penolong semakin menggila dan menjadi tamak. Ingin dicantasnya ketua yang telah melantiknya. Bagaimana caranya? Akan difikirkanlah caranya dan kebiasaannya adalah dengan cara jahat. Surat layang, gerakan bawah tanah, fitnah memfitnah, mengadu domba dan yang seangkatan dengannya. Yang penting agenda peribadi tercapai.

Sepatutnya kalau ketua salah, tegur dengan cara baik dan bukannya terus menekan ketua. Beri peluang kepadanya untuk berubah. Kalau tak berubah juga... cubalah lagi cari jalan penyelesaian yang terbaik.

Cantiknya ajaran Islam dan indahnya Islam ini sehinggakan imam solat sebagai pemimpin pun boleh ditegur. Kalau imam terlupa surah ketika sedang solat, makmum di belakangnya boleh tegur dan betulkan. Kalau imam terlupa rakaat samada terlebih atau terkurang, makmun boleh tegurkan. Hanya dengan menyebut subhanallah.

Harap-harap 'bahtera' yang sedang kita naiki, tidak dikepalai oleh dua 'nakhoda' lah ya. Saya sekadar berkongsi coretan.

Friday 20 August 2010

Jijik Lagi Menjelikkan

Kalau dilihat dengan mata kasar tentu aktivit yang satu ini nampak menjijikkan. Mana taknya berlemoih (comot) kata orang utara. Berjalan dengan mata ditutup, selut diredah, dimandi air lopak, menyelit celah-celah perdu pokok, merangkak dalam lubang yang muat-muat saiz badan dan banyak lagilah lakuan-lakuan yang tak terjangkau dek akal dilakukan ketika mata ditutup tu.

Kalaulah foto-foto semasa aktiviti berlangsung diletakkan di muka depan akhbar harian dan ditayangkan di laman sesawang YouTube pasti ianya menjadi perhatian dan perbincangan di peringkat nasional. Gempaq satu Malaya. Percayalah! Itulah menjadi kegemaran orang kita melatah tanpa usul periksa. Mungkin akan ada yang beranggapan kejadian raging di universiti. Mungkin la!

Namun aktiviti yang kotor di pandangan mata kasar ini mempunyai moralnya yang tersendiri. Aktiviti ini lebih banyak yang tersirat daripada yang tersurat. Banyak baik dari buruknya. Hanya mereka yang pernah melaluinya dan seterusnya melihat dengan mata hati sahaja yang boleh mentafsirkan cerita di sebalik aktiviti yang dikatakan menjijikkan ini. Aktiviti kecil yang boleh meninggalkan impak yang besar di dalam diri kita.

Kalau ramai yang tak perasan atau tak ada perasaan, inilah salah satu aktiviti yang dapat menggugurkan ego seseorang. Mana taknya, di zon selesa kebiasaannya aku wangi dan kemas. Kini aku hanya seorang hamba yang biasa sahaja. Comot dan tidak terurus. Pewanginya pula adalah bau-bau selut yang telah menyelaputi dari hujung rambut hinggalah ke kaki. Semua rakan-rakan yang ada tak kira kaya atau miskin, cantik atau kurang, handsome atau kurang, rupanya sama sahaja selepas menamatkan 'laluan si-buta' itu. Berlemoih!

Sepatutnya perkataan syukur terkeluar daripada mulut sesiapa sahaja yang pernah menjalani aktiviti sebegini. Iyalah bersyukur kerana dikurniakan sepasang mata cantik yang masih boleh melihat keindahan alam dan mensyukurinya.

Bayangkanlah nasib golongan yang mempunyai masalah penglihatan atau buta. Mereka hanya mengharapkan bantuan orang lain, tongkat ataupun handrail untuk bergerak. Tentu sukar kan kalau ianya berlaku kepada kita. Hanya 'dibutakan' selama 1-2jam pun kita dah memberontak dan tidak selesa, inikan pula buta selama-lamanya. Aduh... bersyukurnya aku Ya Allah.

Ada satu cerita di sini.

Harap-harap penjengok-penjengok pun sama. Mari kita belajar bersyukur.

Thursday 12 August 2010

Jasa Kwame

Prof Madya Dr Kwame Ampofo-Boateng telah berkhidmat di UiTM lebih daripada 13 tahun. Sebelum di FSR beliau pernah menaburkan baktinya di ITM Seksyen 17. Walaupun bukan Bumiputera dan bukan juga warganegara, namun Kwame tetap komited untuk berkongsi ilmu yang beliau ada bersama-sama pelajar di FSR.

Tanggal 1 September 2010 akan menjadi saksi kepulangan Kwame ke negaranya setelah lama merantau. Langkah kaki beliau yang seterusnya adalah ke University of Calgary. Untuk apa??? Rahsia...

Fakulti akan kehilangan seorang staf yang komited dengan kerja dan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya.

Ketika menyampaikan ucapan terakhirnya di majlis perpisahan yang dianjurkan fakulti tempohari, Kwame cuba menyembunyi kesedihannya. Namun perasaan sebak yang terkeluar daripada bait-bait perkataannya sudah jelas menunjukkan bahawa dia sedang bersedih. Sedih untuk meninggalkan Malaysia yang telah dia anggap sebagai negara keduannya. Kalau tidak, sudah pastilah dia tidak mungkin akan dapat menetap di sini terlalu lama. Kwame juga bersedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan yang sebegitu ramai yang akan ditinggalkannya di bumi Malaysia. Di dalam ucapannya beliau sempat menyebut beberapa perkataan yang disusun menjadi ayat di akhir ucapannya.

Saya mempunyai banyak kenangan bersama Kwame bermula dari proses ditemuduga kerja oleh beliau untuk kemasukan 2000 hinggalah detik-detik terakhir untuk menyiapkan artikel di dalam jurnal fakulti untuk tahun 2010. Tentu ramai alumni-alumni di luar sana yang mempunyai pengalaman mereka ketika di alam kampus bersama Dr Kwame.

Semoga Kwame terus maju jaya.